Friday, December 11, 2009

RANCANGAN INTEGRASI MURID UNTUK PERPADUAN (RIMUP)






RANCANGAN INTEGRASI MURID UNTUK PERPADUAN (RIMUP)

  Pada 14 Februari 2009 bersamaan hari Sabtu, di dewan sekolah SMK Methodist (A.C.S) Kampar telah berlangsungnya Program Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).
  Acara dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis dan diikuti oleh ucapan kata alu-aluan daripada Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Zan’ Asri. Seterusnya,Yang Di-pertua PIBG, Encik Chang Hon Yew dijemput untuk memberi ucapan dan akhirnya merasmikan Program RIMUP 2009. 
  Program RIMUP diserikan dengan persembahan permulaan oleh Tarian Singa oleh pelajar-pelajar Cina yang didatangkan khas dari SMJK(C) Pei Yuan (SUWA). Selepas itu, persembahan diteruskan dengan tarian klasik dan moden India serta Kholatum, Tarian Joget (Cinta Sayang), Tarian Giddah dan Tarian Cina yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar dari SMK Methodist (A.C.S) Kampar. 
  Persembahan terakhir yang dipersembahkan ialah Silat. Pesilat-pesilat merupakan jemputan khas dari SMK Seri Kampar. Ternyata persembahan-persembahan pelajar ini dapat mencapai objektif RIMUP kerana pelajar-pelajar mengenali pelbagai tarian kebudayaan mengikut kaum-kaum yang ada di Semenanjung Malaysia seperti kaum Melayu, Cina, India, dan Sikh. Setiap tarian dipersembahkan mempunyai maksudnya tersendiri. Moga dengan pendedahan ini akan dapat mewujudkan sikap toleransi dan saling memahami serta menerima keunikan kaum lain serta mewujudkan perpaduan antara kaum dalam kalangan pelajar. 


HARI TERBUKA SMK METHODIST (ACS) KAMPAR







Hari Terbuka SMK Methodist (ACS) Kampar telah diadakan pada 27 Jun 2009 iaitu pada hari Sabtu (hari ganti persekolahan) bermula jam 10 pagi. Tujuan Hari Terbuka diadakan adalah untuk merapatkan hubungan ibu bapa pelajar dengan pihak sekolah. Ibu bapa dijemput untuk hadir ke sekolah menemui guru kelas untuk mengambil keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun anak-anak. Selain berpeluang berjumpa dan mengenali guru kelas, ibu bapa juga diberi kesempatan untuk bertanyakan perihal prestasi dan perkembangan pelajaran anak-anak di sekolah. Para guru juga dapat memanfaatkan pertemuan dengan ibu bapa pelajar ini untuk memaklumkan kepada mereka akan kelemahan atau masalah pembelajaran anak-anak mereka di sekolah. Dengan cara ini diharapkan guru dan ibu bapa dapat membantu pelajar dalam mengatasi masalah yang mereka hadapi. Diharapkan juga pertemuan dua mata ini mampu meningkatkan prestasi pelajaran pelajar-pelajar SMK Methodist (ACS) Kampar. Kehadiran ibu bapa pada hari tersebut amat menggalakkan.


SAMBUTAN HARI GURU








Pada 29 Mei 2009 yang lalu. SMK Methodist (A.C.S) Kampar, telah mengadakan Sambutan Hari Guru peringkat sekolah. Bertempat di tapak perhimpunan, sambutan bermula dengan nyanyian lagu-lagu patriotik. Selepas itu, Ketua Pengawas memberikan ucapannya., Seterusnya, Tuan Pengetua, En. Lai Man Keong dijemput untuk memberikan sepatah dua kata. Majlis bertambah meriah dengan upacara penyampaian cenderamata kepada guru-guru dan nyanyian lagu Guru Malaysia dan lagu Tema Hari Guru 2009 iaitu Guru Pembina Negara Bangsa oleh para guru. 
  Hanya selepas itu, persembahan daripada pelajar dihidangkan oleh pelajar-pelajar yang berbakat. Persembahan pasukan pancaragam sekolah dan koir sekolah begitu menarik sekali.. Majlis diserikan pula dengan persembahan tarian Punjabi dan persembahan sketsa dari Persatuan Bahasa Cina serta diikuti oleh deklamasi sajak oleh Saudari Hidayah dari kelas 1K2 dan Syaiman dari kelas 2K1.
 Persembahan pelajar diselalng seli oleh pengumuman anugerah-anugerah khas yang diadakan khas oleh para pelajar untuk para guru. Antara anugerah yang mendapat sorakan dan tepukan gemuruh para pelajar dan guru ialah Anugerah Guru Wanita Yang Paling Bergaya yang jatuh ke tangan Pn Norhayati manakala Anugerah Guru Lelaki Paling Bergaya milik En Muhammad Hanif. 
Kemuncak acara Sambutan Hari Guru ialah acara sukaneka. Guru-guru yang digandingkan dengan pelajar-pelajar begitu seronok ketika menyertai sukaneka yang diadakan. Antara acara sukaneka adalah membawa bola dengan kayu hoki, memindahkan gelang getah dengan straw dan mengisi air dalam botol. Pelajar-pelajar memberi sokongan dengan memberi tepukan dan sorakan semangat kepada para guru. Acara sukaneka ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga dapat merehatkan minda para guru serta dapat merapatkan hubungan antara guru dengan guru dan antara pelajar dengan guru. 
Sambutan Hari Guru diakhiri dengan jamuan untuk para guru di kantin sekolah.

Wednesday, December 9, 2009

WAWASAN SEKOLAH

Pada tahun 2020, SMK Methodist (ACS), Kampar akan menjadi sekolah nombor 1 di kawasan Kampar baik dalam akademik mahupun bukan akademik.
Bidang Akademik
Mencapai 100% kelulusan dalam SPM dan 50% memperoleh 4A ke atas.
Mencapai 100% kelulusan PMR dan 50% daripadanya memperoleh 5A ke atas.
Bidang Bukan Akademik
1. Mempertingkatkan kegiatan-kegiatan kokurikulum untuk dinikmati oleh semua pelajar supaya mereka menjadi sihat dan mahir dalam bidang yang diceburi. Selaras dengan tujuan ini dan wawasan negeri Perak, maka menjelang tahun 2020, SMK Methodist (ACS) Kampar akan menjadi johan atau naib johan daerah Kampar dalam pertandingan permainan-permainan berikut :
  a)Bola Sepak d) Bola Jaring
  b)Badminton e) Sepak Takraw
  c)Bola Keranjang f) Bola Baling
   
2. Menghasilkan wakil terbanyak dari daerah Kampar untuk menyertai pertandingan peringkat MSSPk dalam bidang Permainan dan Olahraga.

HARI PROFESIONALISME 2009







HARI : SABTU
TARIKH : 28 MAC 2009
MASA : 8.00 PAGI HINGGA 1 PETANG

Istimewanya Hari Profesionalisme SMK Methodist (ACS) Kampar dilakukan di Gua Tempurung, Kampar Perak. Program ini boleh kita katakan 2 dalam 1. Hari Profesionalisme dan Lawatan Ke Gua Tempurung. Unik, bukan?

Pada pukul 8.00 pagi, ada sarapan yang disediakan. Bihun dan kari ayam. Memang sedap dan berselera.Selepas tu mulalah upacara formal di bawah pondok besar bersebelahan medan kereta.Upacara pertama ialah nyanyian lagu Negaraku. Selepas nyanyian lagu Negaraku En. Hardave menjadi ketua dalam upacara membaca ikrar guru. Huyoh! Tabik hormat pada cikgu-cikgu ACS.Semuanya berdiri tegak dan bersemangat menyanyi lagu kebangsaan Malaysia.

Tentunya majlis tidak lengkap tanpa doa. Tuan Hj Nor Aznan yang juga kaunselor sekolah membacakan doa.Antara kandungan doanya ialah agar aktiviti hari ini berjalan lancar dan dipermudahkan Allah.Selepas doa, perutusan daripada Tuan Pengarah Pelajaran Perak telah dibacakan oleh PK Kokurikulum iaitu En. Mohammed Hanif. Antara harapan Tuan Pengarah Pelajaran Perak adalah supaya guru-guru dapat menjalankan tanggungjawab mereka yang makin mencabar dan penuh dugaan ini.

Selepas upacara pembacaan perutusan, En Lai Mann Kheong, pengetua pula berucap. Pengetua menerangkan bahawa beliau yang mencadangkan agar Hari Profesionalisme disambut dalam suasana santai. En Lai berasa bangga kerana majlis masih dapat dijalankan dengan lancar walaupun dalam senda gurau dan gelak ketawa. 

Pada jam 9.00 pagi, kaunselor sekolah memberikan ceramah motivasi. Hanya pada jam 10.00 pagi, bermulalah Ekspedisi ke Gua Tempurung. Kami bermula dengan berbaris di pintu masuk Gua Tempurung. Ada pemandu pelancong iaitu saudara Zul yang akan ditugaskan membantu kami dalam ekspedisi di Gua Tempurung.

Keadaan di dalam gua agak gelap. Kami dinasihatkan supaya berjalan berhati-hati ketika menaiki tangga yang licin. Tangga dalam gua ialah tangga buatan dan licin di tempat-tempat tertentu akibat titisan air. Menurut saudara Zul, kami akan naik sehingga 600 anak tangga.Ekspedisi kami melibatkan ekspedisi perjalanan kering. Harga tiket seorang RM 8. Rupanya ada perjalanan basah. Maksudnya, masuk gua ikut aliran sungai bawah tanah. 
kami tidak pilih jalan basah sebab memakan masa sampai 4 jam. 

Bukan mudah rupanya menaiki tangga dalam gua ini.Kalau tidak silap, tempat tertinggi dalam gua itu ialah 1500 kaki iaitu dari aras tanah ke lelangit gua. Perjalanan kami pergi dan balik memakan masa 1 jam 40 minit . Ada beberapa tempat dalam gua yang menjadi tempat persinggahan sementara. Di setiap tempat hentian tersebut, saudara Zul memberikan penerangan ringkas tentang kawasan yang dilawati itu. Beliau juga menunjukkan gambar-gambar atau bentuk-bentuk pelik di dinding gua.Semuanya terbentuk secara semula jadi. Terdapat dinding berupa kepala kambing, ikan, gajah dan orang. Ada juga bentuk dinding yang menyerupai orang perempuan dan kaki perempuan yang terjuntai.. Terdapat gambar perempuan berambut panjang yang sedang duduk seperti sedang mencuci rambut.

Tempat paling seronok dan menjadi perhentian yang lama ialah tempat yang ada pendingin hawa.Bukanlah pendingin hawa yang betul tetapi ada satu bahagian gua yang memang sejuk dan terasa dingin dengan hembusan bayu. Di situ juga terdapat laluan air kecil yang apabila disentuh airnya terasa sungguh sejuk. Hilang sebentar rasa panas(sebab berpeluh menaiki tangga).
 
Walaupun agak memenatkan menaiki tangga gua namun ekspedisi kami memberikan pengetahuan dan pengalaman yang amat bermakna kepada kami. Walaupun ada beberapa guru yang tidak dapat menamatkan ekspedisi kerana masalah kesihatan dan terpaksa berpatah balik namun kebanyakan guru berjaya menamatkan misi.Ternyata program yang diadakan ini berjaya mencapai objektifnya iaitu menguji ketahanan fizikal dan mental para guru. Dalam pada itu, program ini juga dapat menegratkan hubungan antar guru-guru melalui percambahan minda.

Hari Profesionalisme SMK Methodist(ACS) Kampar diakhiri dengan jamuan makan tengah hari. Sementara menunggu makanan tengahari disediakan, kami sempat menyaksikan pengetua dan beberapa orang guru lelaki meniti titi gantung merentasi sungai kecil. Makanan tengah hari yang disediakan amat menyelerakan. Lauk ayam rendang dan ada sambal dan ulam bercampur ikan masin. Semua guru nampak berselera. Ada yang tambah nasi. Agaknya selepas penat menaiki tangga tentunya banyak tenaga yang hilang. Perut pula tentunya lapar. Selepas kenyang menjamu selera, para guru balik ke rumah masing-masing pada jam 1 petang.


KEJOHANAN SUKAN TAHUNAN KE 85


Pada 18 April bersamaan hari Sabtu yang lalu, SMK Methodist (ACS) Kampar telah mengadakan Kejohanan Sukan Kali Ke-85. Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Lee Chee Leong. Timbalan Menteri Luar Malaysia. Kejohanan Sukan pada kali ini diadakan di Padang MDKS, Kampar, Perak.
  Majlis bermula pada pukul 7.30 pagi dan tamat pada jam 12.30 tengah hari.. Acara pertama ialah perarakan pasukan rumah sukan dan lintas hormat pasukan unit beruniform. Majlis diteruskan dengan lafaz ikrar kejohanan sukan oleh olahragawan saudara Jeeventhiran A/L Micheal. Kemudian En. Lai Man Keong, pengetua SMK Methodist (ACS) Kampar dijemput untuk memberikan ucapan. Sukan Tahunan dirasmikan oleh Dato’ Lee Chee Leong. 
Majlis diteruskan pula dengan persembahan Pancaragam Sekolah dan Pasukan Senamrobik. Acara di padang bermula dengan acara larian 100m, 4x 200m, 4x 100m dan acara tarik tali. Upacara penutup sukan tahunan sekolah ialah upacara penyampaian hadiah.
 Pemenang bagi acara tarik tali bagi perempuan dan lelaki, masing-masing telah dimenangi oleh rumah kuning. Johan bagi perbarisan unit beruniform jatuh kepada pasukan St John Ambulans. Johan bagi perbarisan antara rumah pula telah dimenangi oleh runah merah. 
Berdasarkan pencapaian dalam sukan tahunan, Shema Jesliah a/p David Vethamonikam dari rumah biru telah dipilih menjadi Olahragawati Perempuan Ketagori Kelas 2, manakala Kishen Kumar a/l Uthayer telah dipilih sebagai Olahragawan Kategori Lelaki Kelas 2. Olahragawati bagi Kategori Perempuan Kelas 1 pula ialah Keshvini a/p Suresh Kee dan Olahragawan bagai Kategori Lelaki Kelas 1 pula ialah Elangovan a/l Rajendran. Olahragawan bagi tahun 2009 telah jatuh kepada saudara Elangovan a/l Rajendran. Olahragawati pula jatuh kepada saudari Keshvini a/p Suresh Kee. Johan Keseluruhan sukan tahunan sekolah jatuh kepada rumah biru.
Pada Sukan Tahunan kali ini, terdapat dua rekod baru yang dipecahkan iaitu rekod baru bagi acara 800m kategori perempuan kelas 2 yang dibuat oleh Shema Jesliah a/p Vethamonikam dengan catatan masa 3.05.25 minit . Manakala rekod baru bagi larian 1500m( terbuka perempuan) telah dipecahkan oleh Ashvin Kaur a/p Sukh Darshan Singh, dengan catatan masa 6.15.03 minit. Johan Keseluruhan sukan tahunan sekolah jatuh kepada rumah biru







(p.s Ada masalah teknikal pada gambar-tarikh tak betul.Sorry ek!)

Monday, December 7, 2009

MERENTAS DESA PERINGKAT SEKOLAH







Pada 17 Januari 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan (ACS) Kampar telah mengadakan satu aktiviti merentas desa peringkat sekolah. Aktiviti ini telah berlangsung di Kompleks Rakan Muda, Batu Putih, Kampar dan dirasmikan oleh Tuan Pengetua SMK Methodist (ACS) Kampar iaitu, Encik Lai Mann Kheong. Objektif aktiviti ini adalah untuk memilih pelajar-pelajar yang layak untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah. Di samping itu, pertandingan merentas desa diharapkan dapat membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar dan guru serta mewujudkan perpaduan sesama pelajar dan guru.
 
Pertandingan Merentas Desa Peringkat Sekolah melibatkan semua pelajar SMK Methodist (ACS) Kampar. Acara terbahagi kepada empat kategori iaitu kategori Lelaki Bawah 15, Perempuan Bawah 15, Lelaki Bawah 18 dan Perempuan Bawah 18. Dalam acara ini, para pelajar harus melalui beberapa laluan sekitar Batu Putih, Kampar dan kembali semula ke Kompleks Rakan Muda, Kampar.