Alhamdulillah…wassolatuwassalamu’alarosulillah
Bersyukur kepada Allah s.w.t. dengan kesyukuran yang tiada penghujungnya kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya segala usaha yang dirancangkan untuk malaksanakan sedikit amal di bulan yang penuh keberkatan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mudah-mudahan dapat diteruskan secara istiqomah…insyaAllah.
Ringkasan kepada program yang telahpun berlangsung pada hari Isnin yang lepas, iaitu bertarikh 6 Ramadhan 1431 Hijrah bersamaan 16 Ogos 2010, pada pukul 7.30 pagi telahpun berlangsung satu program menghidupkan dan menyegarkan jiwa warga Muslim di sekolah ini yang telah dianjurkan oleh Persatuan Agama Islam sekolah ini.
Alhamdulillah, program ini dimulakan dengan sedikit penerangan tentang kaifiat (kaedah bacaan) surah Yasin dan seterusnya semua hadirin muslimin dan muslimat dianjurkan supaya membaca secara berjamaah sebagai satu cara membentuk pemuafakatan dalam melakukan ibadah yang berbentuk jama’i.
Bacaan Yasin berlangsung dalam lingkungan 20 minit dan sejurus selepas itu sesi tazkirah diadakan dalam lingkungan 15 minit dengan penyampaian yang serba ringkas oleh muzakkir. Antara isi kandungan yang disampaikan oleh muzakkir tersebut adalah seperti berikut:
1. Mengingatkan tentang kematian bagi setiap individu adalah pasti berlaku sama ada seseorang itu mahu ataupun tidak mahu. Maka wajarlah seseorang itu membuat persediaan sebelum Allah s.w.t. menjemputnya untuk kembali kepadaNya.
2. Mengingatkan bahawa manusia sering lupa tentang hidup di dunia ini hanyalah sementara kerana ada di antara manusia yang melakukan sesuatu kerja tanpa menghiraukan bahawa dirinya akan mati dan akan diperhitungkan segala amalannya kelak.
3. Mengingatkan supaya setiap manusia tidak cinta kepada dunia yang mana cinta pada dunia adalah satu penyakit yang banyak menimpa umat di akhir zaman ini dan akhirnya akan membawa kepada kebinasaan kepada dirinya sendiri.
4. Mengingatkan supaya sentiasa membuat pelaburan untuk akhirat iaitu dengan selalu memberi sedekah, pertolongan dan sebarang bentuk kebajikan kepada golongan miskin dan juga yang memerlukan.
5. Mengingatkan tentang satu hadis Nabi s.a.w. berkenaan ada golongan yang enggan masuk syurga. Golongan tersebut adalah orang yang ingkar kepada apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w.
Dengan sedikit penerangan ringkas di atas, mudah-mudahan menjadi ingatan yang kuat untuk diri muzakkir dan juga kepada setiap individu yang bergelar Muslim khususnya di sekolah ini. Besarlah harapan semoga program seperti ini dapat dijalankan secara berterusan dan dapat melahirkan individu Muslim yang benar-benar memahami tuntutan Islam terhadapnya serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing kerana menyedari bahawa setiap daripada insan semestinya akan diperhitungkan oleh Allah s.w.t. dengan setiap amalannya.
Wasollollohu’alasayyidinamuhammad..wa’ala alihi wasohbihi wasallam…
Assalamu’alaikum w.b.t.
No comments:
Post a Comment