HARI : SABTU
TARIKH : 28 MAC 2009
MASA : 8.00 PAGI HINGGA 1 PETANG
Istimewanya Hari Profesionalisme SMK Methodist (ACS) Kampar dilakukan di Gua Tempurung, Kampar Perak. Program ini boleh kita katakan 2 dalam 1. Hari Profesionalisme dan Lawatan Ke Gua Tempurung. Unik, bukan?
Pada pukul 8.00 pagi, ada sarapan yang disediakan. Bihun dan kari ayam. Memang sedap dan berselera.Selepas tu mulalah upacara formal di bawah pondok besar bersebelahan medan kereta.Upacara pertama ialah nyanyian lagu Negaraku. Selepas nyanyian lagu Negaraku En. Hardave menjadi ketua dalam upacara membaca ikrar guru. Huyoh! Tabik hormat pada cikgu-cikgu ACS.Semuanya berdiri tegak dan bersemangat menyanyi lagu kebangsaan Malaysia.
Tentunya majlis tidak lengkap tanpa doa. Tuan Hj Nor Aznan yang juga kaunselor sekolah membacakan doa.Antara kandungan doanya ialah agar aktiviti hari ini berjalan lancar dan dipermudahkan Allah.Selepas doa, perutusan daripada Tuan Pengarah Pelajaran Perak telah dibacakan oleh PK Kokurikulum iaitu En. Mohammed Hanif. Antara harapan Tuan Pengarah Pelajaran Perak adalah supaya guru-guru dapat menjalankan tanggungjawab mereka yang makin mencabar dan penuh dugaan ini.
Selepas upacara pembacaan perutusan, En Lai Mann Kheong, pengetua pula berucap. Pengetua menerangkan bahawa beliau yang mencadangkan agar Hari Profesionalisme disambut dalam suasana santai. En Lai berasa bangga kerana majlis masih dapat dijalankan dengan lancar walaupun dalam senda gurau dan gelak ketawa.
Pada jam 9.00 pagi, kaunselor sekolah memberikan ceramah motivasi. Hanya pada jam 10.00 pagi, bermulalah Ekspedisi ke Gua Tempurung. Kami bermula dengan berbaris di pintu masuk Gua Tempurung. Ada pemandu pelancong iaitu saudara Zul yang akan ditugaskan membantu kami dalam ekspedisi di Gua Tempurung.
Keadaan di dalam gua agak gelap. Kami dinasihatkan supaya berjalan berhati-hati ketika menaiki tangga yang licin. Tangga dalam gua ialah tangga buatan dan licin di tempat-tempat tertentu akibat titisan air. Menurut saudara Zul, kami akan naik sehingga 600 anak tangga.Ekspedisi kami melibatkan ekspedisi perjalanan kering. Harga tiket seorang RM 8. Rupanya ada perjalanan basah. Maksudnya, masuk gua ikut aliran sungai bawah tanah.
kami tidak pilih jalan basah sebab memakan masa sampai 4 jam.
Bukan mudah rupanya menaiki tangga dalam gua ini.Kalau tidak silap, tempat tertinggi dalam gua itu ialah 1500 kaki iaitu dari aras tanah ke lelangit gua. Perjalanan kami pergi dan balik memakan masa 1 jam 40 minit . Ada beberapa tempat dalam gua yang menjadi tempat persinggahan sementara. Di setiap tempat hentian tersebut, saudara Zul memberikan penerangan ringkas tentang kawasan yang dilawati itu. Beliau juga menunjukkan gambar-gambar atau bentuk-bentuk pelik di dinding gua.Semuanya terbentuk secara semula jadi. Terdapat dinding berupa kepala kambing, ikan, gajah dan orang. Ada juga bentuk dinding yang menyerupai orang perempuan dan kaki perempuan yang terjuntai.. Terdapat gambar perempuan berambut panjang yang sedang duduk seperti sedang mencuci rambut.
Tempat paling seronok dan menjadi perhentian yang lama ialah tempat yang ada pendingin hawa.Bukanlah pendingin hawa yang betul tetapi ada satu bahagian gua yang memang sejuk dan terasa dingin dengan hembusan bayu. Di situ juga terdapat laluan air kecil yang apabila disentuh airnya terasa sungguh sejuk. Hilang sebentar rasa panas(sebab berpeluh menaiki tangga).
Walaupun agak memenatkan menaiki tangga gua namun ekspedisi kami memberikan pengetahuan dan pengalaman yang amat bermakna kepada kami. Walaupun ada beberapa guru yang tidak dapat menamatkan ekspedisi kerana masalah kesihatan dan terpaksa berpatah balik namun kebanyakan guru berjaya menamatkan misi.Ternyata program yang diadakan ini berjaya mencapai objektifnya iaitu menguji ketahanan fizikal dan mental para guru. Dalam pada itu, program ini juga dapat menegratkan hubungan antar guru-guru melalui percambahan minda.
Hari Profesionalisme SMK Methodist(ACS) Kampar diakhiri dengan jamuan makan tengah hari. Sementara menunggu makanan tengahari disediakan, kami sempat menyaksikan pengetua dan beberapa orang guru lelaki meniti titi gantung merentasi sungai kecil. Makanan tengah hari yang disediakan amat menyelerakan. Lauk ayam rendang dan ada sambal dan ulam bercampur ikan masin. Semua guru nampak berselera. Ada yang tambah nasi. Agaknya selepas penat menaiki tangga tentunya banyak tenaga yang hilang. Perut pula tentunya lapar. Selepas kenyang menjamu selera, para guru balik ke rumah masing-masing pada jam 1 petang.
No comments:
Post a Comment